Travel

Muzium Diraja Negara Tempat Bersejarah Di Kuala Lumpur

Oleh Mohd Rasul

Muzium Diraja Negara yang bertempat di Istana Negara lama, Jalan Istana, Kuala Lumpur merupakan tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sejak tahun 1957 hingga tahun 2011. Setelah itu, bangunan Istana Negara lama ini dijadikan Muzium Diraja dan mula dibuka kepada orang ramai pada bulan Februari 2013 sehingga kini.

Muzium Diraja merupakan bangunan Istana Negara lama yang telah dibina sejak tahun 1928. Pada asalnya bangunan ini adalah rumah agam kediaman jutawan Cina yang dikenali sebagai Chan Wing. Rekaan bangunan dua tingkat ini adalah hasil kreativiti daripada sebuah firma seni bina yang terkenal di Singapura iaitu Swan & MacLaren.

Keluasan Muzium Diraja Negara

Muzium Diraja Negara

Keluasan kediaman seluas 11.34 hektar menerapkan seni bina gaya Palladian bagi menunjukkan kemewahan dan kehebatan kediaman tersebut sebagai rumah agam yang terbesar di Tanah Melayu ketika itu. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, bangunan ini dijadikan mes pegawai tentera Jepun, dan kemudiannya diambil alih oleh British Military Administration (BMA) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja selepas Perang Dunia Kedua berakhir.

Muzium Diraja Negara kuala lumpur

Setelah itu pada tahun 1950, bangunan ini dijadikan sebagai istana sementara Sultan Selangor, Al-Marhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah sehingga tempoh pajakan tamat pada bulan Februari 1957.

Bangunan ini akhirnya dibeli oleh Kerajaan Persekutuan dan dijadikan sebagai Istana Negara iaitu kediaman rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sebagai Istana Negara, bangunan ini telah diubahsuai beberapa kali dan mengalami penambahan secara besar-besaran sekitar tahun 1980-an dengan penambahan Balairung Seri Utama untuk upacara rasmi. Bangunan ini menjadi kediaman rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sehingga tahun 2011 semasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke XIII.

Muzium Diraja Negara

1. Lawatan berpandu

Perkhidmatan lawatan berpandu juga disediakan oleh Muzium Diraja kepada para pelawat berkumpulan yang memohon secara rasmi kepada Pengarah Muzium. Menerusi lawatan berpandu sebegini, pengunjung akan berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pegawai muzium dan mendapat penerangan yang lebih mendalam berkenaan Institusi Raja Berperlembagaan dan fungsi ruang-ruang istana yang dipamerkan.

2. Bengkel

Muzium Diraja turut menyelaraskan beberapa jenis bengkel bersama-sama dengan Unit Pembangunan Modal Insan, Bahagian Konservasi dan juga pihak luar. Bengkel-bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi pemahaman dan kemahiran kepada peserta tentang seni budaya diraja Melayu dan kebudayaan luar negara.

Galeri Muzium Diraja Negara

Kompleks Istana Negara lama ini terdiri daripada dua blok bangunan iaitu:

Galeri Istana – Merupakan kediaman Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong I sehingga XIII. Bangunan galeri istana dibina pada tahun 1928 yang memperlihatkan ruangan rasmi dan ruangan peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Setiap ruangan mempunyai nama khas, fungsi, rekaan dan protokol yang tersendiri.

Balairung Seri – Dibina pada tahun 1980-an dan digunakan untuk upacara dan adat istiadat rasmi oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Antaranya seperti Upacara Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, upacara mengangkat sumpah, upacara pelantikan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan yang baharu, upacara pengurniaan pingat dan anugerah kebesaran Persekutuan, upacara mempersembahkan dan menerima pelantikan diplomat asing dan Majlis Makan Malam Diraja.

Waktu Operasi
9.00 pagi – 5.00 petang / Isnin – Ahad

Waktu Tutup
Tutup pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri & Hari Raya Aidiladha

kaunter tiket muzium diraja negara

Tiket Masuk

Warganegara (MyKad)
Dewasa Tempatan: RM5.00
Kanak-kanak 6-12 tahun: RM2.00
Warga Emas: RM3.00
Orang Kelainan Upaya (OKU): RM3.00
Pelajar sekolah beruniform: RM2.00
Pelajar sekolah tidak beruniform & 13-17 tahun: RM3.00
Kanak-kanak tempatan 5 tahun ke bawah: Percuma

Bukan Warganegara
Dewasa: RM10.00
Kanak-kanak pelancong: RM5.00
Kanak-kanak pelancong 5 tahun ke bawah: Percuma

Kemudahan di Muzium Diraja Negara

Tandas, tandas OKU, tempat letak kereta dan bas, kerusi roda, kereta ‘buggy’ dan dewan badminton. Muzium Diraja juga menyediakan lawatan berpandu pada setiap hari. Lawatan berpandu ini dikendalikan oleh petugas galeri Muzium Diraja.

Kemudahan Penginapan

Berikut merupakan tempat penginapan yang berhampiran dengan Muzium Diraja, iaitu dalam lingkungan 1-6 km :

  • Hotel Le Meridien Kuala Lumpur
  • Hotel Hilton
  • Hotel The Majestic Kuala Lumpur
  • Hotel Best Western Premier
  • Hotel Mandarin Court Kuala Lumpur
  • Hotel Prescott Kuala Lumpur Sentral
  • Hotel Midah Kuala Lumpur

Tempat Menarik Berhampiran

Berikut merupakan tempat-tempat menarik yang berhampiran dengan Muzium Diraja, iaitu dalam lingkungan 1-6 km :

  • Muzium Negara
  • Muzium Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
  • Muzium Kepolisan
  • Masjid Negara
  • Memorial Tun Abdul Razak
  • Taman Dusun Bandar, DBKL
  • Taman Tasik Perdana
  • Planetarium Negara
  • Petaling Street
  • Pasar Seni
  • Thean Hou Temple
  • Hindu Temple, Brickfield

Baca: Tempat Menarik di Kuala Lumpur Untuk Dilawati

Mengenai Penulis

Mula menulis blog sejak dari tahun 2015 sehingga kini, Mohd Rasul merupakan front end web designer dan blogger sepenuh masa yang berasal dari Shah Alam, Selangor. Sehingga kini saya telah menghasilkan pelbagai jenis laman web untuk pelanggan-pelanggan saya dan mempunyai lebih 5 tahun pengalaman didalam bidang ini. Anda boleh lihat Portfolio saya jika anda berminat untuk mengetaui lebih lanjut mengenai perkhidmatan saya.

0 komen pembaca

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama komen artikel ini.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

CommentLuv badge

Lagi Artikel Menarik